Rabu, 15 Februari 2012

Dialog Sunni Syiah di Peshawar page : 1

Pertemuan Yang Pertama (Malam Khamis 23 Rejab 1345H) Hafiz Mohd Rashid, Syaikh Mohd. Islam, Syed Abdul Hal dan lain-lain ulama, dan tokoh-tokoh yang berpengaruh di dalam agama hadir di dalam perhimpunan besar bagi memulakan perbincangan yang disertai oleh pendokong Syi'ah dan Sunni. Sesekali terdapat juga beberapa peserta ikut mengambil bahagian di dalam perbincangan yang diadakan. Di dalam akhbar yang disiarkan, mereka menggelar Aqai Sultanul Wae'zeem sebagai Qiblah-o-Ka'bah tetapi di dalam halaman-halaman ini Aqai Sultanul Wae'zeem dinamakan sebagai "Shirazi' dan Hafiz Mohamad Rashid sebagai "Hafiz." Hafiz: Kami amat menghargai peluang untuk berbincang dengan saudara berhubung dengan beberapa persoalan pokok yang mewujudkan perbezaan di antara kita. Sebelum itu kita harus memulakannya dengan satu keputusan, bagaimanakah persyaratan yang dapat dipersetujui oleh semua untuk kita menjayakan majlis ini. Shirazi: Saya amat menyenangi perbincangan ini, dan syarat untuk kita menjayakannya ialah dengan mengelakkan sikap yang melampaui batas serta pandangan yang berbentuk prasangka, dan lebih baik kita berbincang seperti dua orang sahabat. Hafiz: Izinkan saya untuk mengemukakan satu syarat, iaitu perbincangan kita haruslah diadakan menurut keterangan yang diberikan oleh nas-nas al-Qur'an. Shirazi: Syarat yang saudara nyatakan adalah mustahil untuk dilaksanakan oleh kebanyakan ulama dan orang yang berhikmah. Ini disebabkan al-Qur'an adalah terlalu umum dan padat dan ia tidak dapat dihuraikan dan ditafsirkan tanpa merujuk kepada hadith yang sahih. Hafiz: Benar, Itu satu kenyataan yang diakui, oleh itu ia harus dirujuk kepada keterangan dari hadith-hadtih dan riwayat berkenaan beberapa peristiwa yang tidak dipertikaikan. Kita juga perlu menolak rujukan daripada hadith-hadith yang tidak sahih ataupun dari sumber yang meragukan, agar kita tidak akan dipandang serong oleh pihak yang lain dan dianggap sebagai seorang yang berprasangka dan bersikap keterlaluan. Shirazi: Saya setuju. Satu perkara yang sangat baik. Terutamanya bagi orang-orang yang berpendidikan dan berkebolehan, apa lagi bagi orang yang seperti saya ini, yang merasa agak beruntung kerana memiliki pertalian darah dengan Rasulullah SAWAW. Agak keterlaluan juga, sekiranya saya tidak menyebutkan satu pengajaran yang telah disampaikan oleh moyang saya, Nabi Islam SAWAW yang dihiasi dengan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Qur'an, "Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia."(68:4) Dan adalah tidak wajar untuk kita melanggar nas-nas al-Qur'an, "(Hai NabiKu!) Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan nasihat yang baik." (16: 125) Pertalian Persaudaraan Dengan Rasulullah SAWAW Hafiz: Maaf, baru sebentar tadi anda mengaitkan diri anda dengan Rasulullah SAWAW. Ini sememangnya telah diketahui umum, tetapi saya memohon agar anda dapat menjelaskan kedudukan nasab anda, supaya kami dapat mengetahui bagaimanakah keturunan anda bersambung kepada Rasulullah SAWAW? Shirazi: Keturunan saya sampai ke Rasulullah SAWAW melalui Imam Musa al-Kazim AS seperti berikut: Mohammad Ibn Ali Akbar (Asraful a'ezim), Ibn Qasim (Bahru Ulum), Ibn Hasan, Ibn Ismail Mujtahid Waez, Ibn Ibrahim, Ibn Swaleh, Ibn Abil Qasim Muhammad Taqi, Ibn (Maqbuluddin) Husain, Ibn Abi Ali Hasan, Ibn Muhammad bin Fathullah, Ibn Ishaq, Ibn Hashim, Ibn Abi Mohammad, Ibn Ibrahim, Ibn Abil Fityan, Ibn Abdullah, Ibn Hasan, Ibn Ahmad (Abu Tayyab), Ibn Abi Ali Hasan, Ibn Abu Ja'far Mohammad al-Hairi (Nazil-e-Kirman),Ibn Ibrahim (dikenali sebagai Mujab), Ibn Amir Mohammad al-Abid, Ibn Imam Musa al-Kazim AS, Ibn Imam Ja'far al-Sadiq AS, Ibn Mohammad al-Baqir AS, Ibn Imam Zainal Abidin AS, Ibn Imam Husain AS, Ibn Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib AS. Hafiz: Jaluran yang sebentar tadi saudara berikan tadi cuma sampai kepada Amirul Mukminin Ali AS, tetapi saudara mendakwa ianya berakhir kepada Rasulullah SAWAW. Sebetulnya dengan nasab yang sebegitu, saudara dalam pengertian yang sebenarnya, hanyalah bertalian dengan Rasulullah SAWAW dan bukan dari keturunannya. Ini kerana keturunan adalah perkembangan terus-menerus dengan diri Rasulullah SAWAW. Shirazi: Nasab kami sampai kepada Rasulullah SAWAW melalui Bibi Fatimah Zahra AS, ibu kepada Imam Husain AS. Saya tidak menduga saudara akan mempersoalkan tentang keturunan saya, jika tidak tentu saya tidak akan memberikan keterangannnya. Hafiz: Saya fikir, arangkali saudara yang telah tersalah faham. Tidak ada apa-apa prasangka dari saya. Saya sebagaimana juga pada ilmuan yang lain, berpendapat keturunan seseorang hanya dikenali dari pihak bapa, bukan dari pihak ibu. Saya petik satu pepatah Arab yang bererti "anak lelaki, cucu lelaki dan anak perempuanku adalah dari aku tetapi anak lelaki dari anak perempuanku bukan dari aku." Sekiranya saudara boleh buktikan ada yang selain dari itu, yakni keturunan dari anak perempuan Rasulullah SAWAW adalah keturunan Rasulullah SAWAW juga, kami bukan sahaja menerimanya, malahan kami juga amat berterima kasih kepada saudara. Shirazi: Terdapat banyak sekali bukti dari al-Qur'an dan juga dari hadith-hadith yang sahih untuk mengesahkan alasan saya. Hafiz: Saya harap saudara dapat melanjutkan penjelasan tentang perkara ini, supaya kita semua mengetahui perkara tersebut. Shirazi: Semasa saudara berkata-kata tadi, saya teringat kepada dialog yang telah berlaku di antara Harun al-Rashid, khalifah Abbasiyyah dan salah seorang Imam kami, Musa al-Kazim AS mengenai perkara yang sama, dan Imam AS memberikan jawapan yang sangat memuaskan sehingga khalifah mengiktirafnya. Hafiz: Bagaimanakah suasana pertemuan itu? Saya sungguh berminat untuk mendengarnya. Diskusi Di antara Harun al-Rasyid dan Imam Musa al-Kazim AS Mengenai Keturunan Rasulullah SAWAW Shirazi: Abu Ja'far Mohammad bin Ali yang digelar sebagai "Syeikh Saduq" salah seorang ulama besar Mazhab aqidah Syi'ah pada kurun ke-14 Hijrah. Di dalam bukunya yang muktabar,"Uyunul Akhbar al-Rida", dan juga Abu Mansur bin Ali Tabrasi di dalam bukunya "Ehtijaj," telah memberikan penerangan yang terperinci tentang diskusi yang berlaku di antara Harun al-Rasyid dengan Imam Musa al-Kazim AS, di balai istananya. Khalifah telah mengemukakan berbagai-bagai persoalan kepada Imam AS untuk mendapatkan jawapannya. Salah satu daripada soalannya ialah "Bagaimanakah anda boleh mengatakan bahawa anda adalah salah seorang daripada keturunan Rasulullah SAWAW, walhal Rasulullah SAWAW tidak mempunyai keturunan. Ini kerana seperti yang telah diketahui keturunan datang dari pihak bapa bukan dari pihak ibu. Sedangkan anda tergolong dari anak perempuannya, dan dengan ini anda bukan dari keturunan Rasulullah SAWAW." Di dalam jawapannya, Imam AS membacakan ayat al-Qur'an Surah al-An'aam: 84 yang bermaksud,"(Dan kepada Nuh sebelum itu) telah Kami beri petunjuk dan kepada sebahagian dari keturunannya (Nuh) iaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, dan Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang berbuat baik, dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Semuanya termasuk orang-orang yang saleh." (6: 84-85). Berdasarkan keterangan ini, Imam Ali AS bertanya kepada Khalifah,"Siapakah dia Nabi Isa AS?" Harun menjawab bahawa Isa AS tidak mempunyai bapa. Imam AS menjelaskan,"Tiadalah siapa pun melainkan Allah yang Maha Agung yang menggolongkannya ke dalam keturunan para Nabi melalui Bibi Mariam. Dan seperti itu, jugalah Dia telah memasukkan kami sebagai keturunan Nabi SAWAW moyang kami Bibi Fatimah al-Zahra." (Imam Fakhruddin al-Razi, berhubung dengan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya Tafsir al-Kabir, bahagian IV masalah V di halaman 124, menyebutkan ianya sebagai bukti bahawa Hasan dan Husain AS adalah keturunan daripada Nabi SAWAW.) Di dalam ayat ini, Allah telah mengesahkan bahawa Isa AS tidak mempunyai bapa, di mana pertalian adalah dari pihak ibunya. Begitu jugalah dengan Hasan dan Husain AS yang sebenarnya adalah dari keturunan Rasulullah SAWAW. Imam Mohammad al-Baqir AS, iaitu Imam yang kelima, memberikan alasan yang serupa kepada Hajjaj (yang kemudiannya mendiamkan diri). Imam Musa al-Kazim AS lalu bertanya lagi kepada khalifah apakah dia ingin bukti yang lain. Khalifah meminta Imam AS meneruskan. Imam AS kemudian membaca Surah Ali Imran: 61, yang bermaksud,"Siapakah yang membantah tentang kisah Isa sesudah datangnya ilmu (yang menyakinkan kamu), maka katakanlah (Ya Mohammad) kepada mereka: Marilah kita memanggil anak-anak kamu dan isteri-isteri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakah kepada orang-orang yang dusta." Seterusnya Imam Menerangkan siapakah yang dituntut kepada peristiwa (Mubahalah) menentang Kristian Najran itu. Rasulullah SAWAW membawa mereka berserta dengan perintah Allah iaitu Ali bin Abi Talib, Fatimah AS, Hasan AS dan Husain AS. Jadi, "diri-diri kami" (Anfusana) di dalam ayat di atas bererti Ali bin Abi Talib AS, wanita-wanita kami (nisa'ana) bererti Fatimah AS dan anak-anak kami (abna'ana) bererti Hasan AS dan Husain AS. Di akhir tajuk yang sama, juga terdapat penjelasan Abu Saleh Hafiz Abdul Aziz bin al-Akhzar, Abu Nuaim, Tabari, Ibn Hajar Makki pada halaman 112 tulisannya "Sawaiq al-Muhriqah", Mohammad bin Yusuf Kanji Syafie pada akhir Bahagian I selepas halaman 100 Bab "Kifayatul Talib", serta Tabari ketika meriwayatkan kehidupan Imam Hasan AS menyatakan, bahawa khalifah yang kedua, Umar bin al-Khattab berkata,"Aku mendengar Rasulullah SAWAW bersabda Sebaik sahaja Harun al-Rasyid mendengar keterangan yang amat jelas itu, dia pun berkata,"Tahniah, Ya Abal Hasan." Dari itu hujah Imam Musa al-Kazim AS dengan Harun al-Rasyid itu, terbukti bahawa Hasan AS dan Husain AS adalah anak Rasulullah SAWAW dan kesemuanya keturunan dari Fatimah AS adalah keturunan Rasulullah SAWAW. Hujah Lain Yang Menunjukkan Bahawa keturunan Fatimah AS Adalah Keturunan Rasulullah SAWAW Ibn Abil Hadid Muktazili seorang ulama saudara, di dalam Syarh Nahjul Balaghah dan Abu Bakar al-Razi di dalam Tafsirnya mencatatkan hujah yang sama juga, bahawa Hasan AS dan Husain AS adalah daripada sebelah ibu mereka, anak kepada Rasulullah SAWAW. Dengan cara yang sama sebagaimana Allah menerangkan di dalam al-Qur'an bahawa Isa AS tergolong di dalam keturunan Nabi Ibrahim AS daripada sebelah ibunya Mariam. Mohammad bin Yusuf Kanji Syafie di dalam bukunya Kafayatul Talib dan Ibn Hajar Makki pada halaman 74 dan 93 dari bukunya "Sawaiq al-Muhriqah" serta Tabari dan Jabir bin Abdullah al-Ansari dan juga Khatib Khawarizmi di dalam "Manaqib" mereka menyebutkan, Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAWAW bersabda,"Allah menjadikan tiap-tiap Nabi dari keturunan mereka sendiri tetapi keturunanku dijadikan dari keturunan Ali AS." Juga Khatib al-Khawarizmi di dalam "Manaqib"nya, Mir Syed Ali Hamdani Syafie di dalam "Mawaddatul Qurba"nya, Imam Ahmad bin Hanbal, seorang ulama besar di dalam mazhab saudara, di dalam "Musnad"nya, dan Sulaiman Balkhi Hanafi di dalam "Yanabi al-Mawaddah" mencatatkan (di dalam bentuk yang lebih kurang sama) Rasulullah SAWAW bersabda,"Kedua anakku ini adalah seperti dua kuntum bunga di dalam dunia ini, dan kedua-duanya adalah Imam sama ada secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi, di dalam rumah. Dan Syeikh Sulaiman Hanafi di dalam bukunya "Yanabiul Mawaddah" telah mengkhususkan di dalam Bab 57, di atas tajuk yang sama mencatatkan begitu banyak sekali hadith-hadith daripada kalangan mazhab saudara seperti Tabari, Hafiz Abdul Aziz Ibn Abi Syaibah, Khatib al-Baghdadi, Hakim, Baihaqi, Baghavi, dan lain-lainnya di dalam riwayat yang berbeza-beza menyatakan bahawa Hasan dan Husain AS adalah anak Rasulullah SAWAW. Di akhir tajuk yang sama juga terdapat penjelasan Abu Saleh Hafiz Abdul Aziz bin al-Akhzar, Abu Nuaim, Tabari, Ibn Hajar Makki pada halaman 112 tulisannya "Sawaiq al-Muhriqah", Mohammad bin Yusuf Kanji Syafie pada akhir bahagian I selepas halaman 100, Bab "Kifayatul Talib", serta Tabari ketika meriwayatkan kehidupan Imam Hasan AS menyatakan bahawa khalifah yang kedua, Umar bin Khattab berkata,"Aku mendengar Rasulullah SAWAW bersabda bahawa pada Hari Pembalasan, tiapt-tiap keturunan akan terputus sesama sendiri, melainkan keturunanku, dan tiap-tiap keturunan dari sebelah perempuan adalah daripada pihak bapa melainkan keturunan Fatimah, yang bertalian denganku sebagaimana aku adalah mereka dan keturunan mereka." Syeikh Abdullah bin Mohammad Amir Shabravi Syafie di dalam bukunya, "Kitabul Ittehaf bin Hubbil Ashraf" meriwayatkan hadith ini dari Baihaqi dan Darqutni, dari Abdullah bin Umar daripada bapanya sewaktu peristiwa perkahwinan Ummi Kalsum. Jamaluddin Sayuti di dalam bukunya "Ihyaul Mait" di bawah perbicaraan keutamaan-keutamaan Ahlul Bait AS, mengambil khalifah Umar dan Syed Abu Bakr bin Shahabuddin Alvi pada halaman 39-42, Bab III, "Reshfatussad min Bahre Fazaele bani Nabiul Hadi" (cetakan di Maktabi Eilmia, Mesir pada tahun 1303H) telah membuktikan bahawa keturunan Fatimah AS adalah keturunan Rasulullah SAWAW. Adapun petikan bidalan yang saudara bacakan itu, tidak mempunyai kekuatan dengan alasan yang kukuh. Ini sebagaimana yan dinyatakan oleh Mohammad bin Yusuf Kanji Syafie di dalam bukunya "Kifayatul Talib" selepas Bab 100, tajuk kecil yang telah saya terangkan tadi, dari halaman 1 sebagai jawapan kepada perbidalan tersebut, yang membuktikan bahawa anak kepada anak perempuan Rasulullah SAWA adalah anak kepada Rasulullah SAWAW. Adapun perbidalan ini telah diciptakan pada zaman jahiliyyah dahulu, sepertimana yang telah dicatatkan oleh pengarang "Jameusshawahid." Begitu juga terdapat banyak hadith-hadith yang membuktikan bahawa anak-anak Bibi Fatimah AS adalah anak-anak Rasulullah SAWAW. Jadi kami adalah sebagaimana yang telah dibuktikan dengan hadith yang sahih, merupakan keturunan Rasulullah SAWAW. Dan kami merasa bertuah kerana orang lain tidak sedemikian rupa. Sebenarnya tiada seorang pun di dalam dunia ini, yang lebih patut untuk merasa bangga dengan keturunan mereka, sepertimana kebanggaan yang dimiliki oleh keturunan Bibi Fatimah AS, yang berasal daripada Ali AS dan Rasulullah SAWAW. Hafiz: Alasan saudara kelihatan munasabah, dan menyakinkan, dan dengan itu tidak dapat dipertikaikan. Majlis perhimpunan dialog kemudiannya bersurai untuk solat Isyak. Ketika rehat, Nawab Qayum Khan, seorang yang terkenal sebagai hartawan dari kalangan Sunni, yang sungguh berminat untuk menyelidiki agama dengan terperinci, meminta izin untuk mengemukakan beberapa pertanyaan. Mengapa Syi'ah Menghimpunkan Solat (Solat Zuhur Dengan Asar dan Maghrib Dengan Isya') Nawab: kenapa orang-orang Syi'ah menjamakkan solat Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isya', sedangkan ini bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAWAW? Shirazi: Pertamanya, ulama saudara sendiri berbeza pandangan sesama mereka, di dalam masalah yang mereka ikuti kemudiannya. Keduanya, saudara mengatakan kami melakukan amalan yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWAW. Saudara terkeliru di sini kerana Rasulullah SAWAW sendiri pernah mendirikan solat dengan kedua-dua cara, kadangkala dengan menjamaknya dan kadangkala secara berasingan. Nawab: Menoleh kepada sahabatnya dan bertanya sama ada, benar atau tidak Rasulullah SAWAW pernah melaksanakannya dengan kedua-dua cara tadi. Hafiz: Baginda melakukannya hanya seketika di dalam perjalanan atau sewaktu terdapat halangan seperti hujah dan lain-lain lagi. Ketika itu Rasulullah SAWAW akan mendirikan solat secara jamak, jika, baginda akan bersolat berasingan semasa di rumah. Shirazi: Di dalam kitab-kitab saudara sendiri, tercatat banyak keterangan hadith, Rasulullah SAWAW pernah mendirikan solat secara berasingan, dan begitu juga dengan menjamakkannya baik di rumah atau tanpa sebarang halangan. Terdapat begitu banyak sekali hadith-hadith sahih di dalam buku-buku saudara sendiri. Hafiz: Jika benar begitu, tolong rujukkan kepadanya. Shirazi: Di dalam "Sahih" Muslim bin Hajjaj, Bab "Jama' Baina-Salatain fil-Hadhar" tercatat sanad-sanad yang tidak terputus yang meriwayatkan Ibn Abbas berkata,"Rasulullah SAWAW pernah mendirikan solat Zuhr dan Asar, dan Maghrib dasn Isya' secara jamak, tidak dalam ketakutan atau apabila baginda berada di luar rumah. Dan sekali lagi, Ibn Abbas berkata,"Kami menyempurnakan lapan raka'at pada solat Zuhr dan Asar, dan tujuh raka'at pada solat Maghrib dan Isya' bersama-sama Rasulullah SAWAW." Hadith yang serupa juga telah dikutip oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam "Musnad"nya, Bahagian I, di halaman 221. Begitu juga, Imam Muslim mencatatkan beberapa buah hadith yang serupa. Dia meriwayatkan dari Abdullah bin Shaqiq yang menyatakan, bahawa pada satu hari Abdullah bin Abbas sedang membaca khutbah bersama-sama dengan sahabat yang lain selepas solat Asar, sehingga matahari terbenam dan bintang-bintang mulai terbit. Orang ramai berteriak,"Solat! Solat!", tetapi Ibn Abbas tidak menghiraukannya. Ketika itu, seorang dari Bani Tamimi berteriak lagi,"Solat! Solat!". Ibn Abbas kemudian berkata,"Engkau mengingatkan aku tentang satu "sunnah," adapun aku sendiri telah menyaksikan Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isya'. Abdullah bin Shaqiq berkata, dia ragu-ragu dengan kata-kata ini lalu terus menemui Abu Hurairah untuk meminta penjelasannya. Beliau mengakui apa yang telah diperkatakan oleh Ibn Abbas itu. Melalui sanad yang lain pula, Abdullah bin Shaqiq telah meriwayatkan dari Aqil, bahawa Abdullah bin Abbas sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang dari atas mimbar sehingga hari telah menjadi gelap. Kemudian seorang di antara mereka berteriak tiga kali,"Solat! Solat! Solat!," dan ini menganggu Abdullah bin Abbas, lalu beliau berkata,"Awas, berani kamu mengingatkan aku tentang solat, walhal pada hari-hari bersama Rasulullah SAWAW, kami pernah menjamakkan solat Zuhr dan Asar dan solat Maghrib dan Isya.' Zarqani, salah seorang ulama saudara yang terkenal di dalam Sharh al-Muwatta Imam Malik, Bahagian I, Bab "Jamak Baina-solatain", halaman 363, memetik Nasai yang mengambil riwayat melalui Amr bin Haram Abi Shaasa, bahawa Ibn Abbas berkata dia menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dan Isyak di Basrah dengan tiada diselangi waktu atau perbuatan yang lain di antara kedua solat tersebut. Dan beliau berkata Rasulullah SAWAW juga bersolat demikian. Juga, Muslim di dalam Sahihnya dan Malik di dalam Muwattanya Bab "Jamak Baina-solatain", dan Imam Hanbal di dalam Musnadnya mencatatkan berkenaan Ibn Abbas melalui Said bin Jubair, bahawa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dan Asar di Madinah tanpa alasan ketakutan atau hujan. Abu Zubair berkata bahawa dia bertanya kepada Said kenapa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat. Said menjawab, dia juga pernah bertanya kepada Ibn Abbas soalan yang sama. Ibn Abbas menjawab, baginda menjamakkan solat kerana tidak mahu menyusahkan umatnya. Begitu juga, di dalam hadith-hadith yang lain Ibn Abbas menyebutkan bahawa Rasulullah SAWAW menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak bukan disebabkan ketakutan atau hujan. Terdapat begitu banyak sekali hadith yang diriwayatkan berhubungan dengan perkara ini, yang menjadi bukti yang nyata tentang kesahihan menjamakkan solat selain daripada pembahagian bab-bab tentang solat Jamak dan pengumpulan hadith di dalam tajuk yang sama. Ini supaya keizinan menjamakkan solat tidak dapat dipertikaikan lagi. Kalau tidak, sebahagian akan mengatakan bahawa solat jamak boleh dilakukan di rumah, dan sebahagian yang lain akan mengatakan solat jamak hanya boleh dilaksanakan ketika di dalam perjalanan yang bersangkutan dengan waktu solat jamak. Walau bagaimanapun hadith-hadith yang telah disebutkan tadi, yang terdapat di dalam buku-buku yang "Sahih" dan juga di dalam buku-buku yang muktabar membuktikan bahawa menjamakkan solat diizinkan sama ada di dalam perjalanan ataupun semasa berada di rumah. Hafiz: Tidak terdapat Bab yang sedemikian di dalam kitab Sahih Bukhari. Shirazi: Pertama, apabila semua pengarang kitab-kitab "Sahih" seperti Muslim, Nasai, Ahmad bin Hanbal dan pendapat-pendapat selain "Sahihain" Muslim dan Bukhari serta lain-lain ulama besar saudara telah mencatatkan semua perkara itu, ia sudah mencukupi untuk membenarkan perkara ini. Kedua, Bukhari juga telah meriwayatkan hadith ini di dalam "Sahih"nya tetapi dengan sengaja menyisihkan hadith ini dari tempatnya "Jamak Solat". Jika saudara meneliti bab "Bab at-Takhir uz-Zuhr Ilal Asr Min Kitab al-Mawaqitus-Solat", dan "Bab az-Zikrul Isya' wal-Atmah", dan "Bab al-Waqtul Maghrib" saudara akan menemui hadith-hadith ini di situ. Jadi, catatan hadith yang berada di bawah tajuk "Keizinan dan Keesahan Menjamakkan Dua Solat", terbukti sebagai suatu keyakinan yang umum kepada ulama daripada kedua-dua belah pihak, dan kesahihan hadith ini telah diperakui di dalam buku-buku "Sahih." Seterusnya, Allamah Noori di dalam Syarh Sahih Muslim, dan Asqalani, Qastani dan Zakariya al-Razi di dalam perbahasan yang telah mereka tulis berkenaan "Sahih Bukhari" dan juga Zarqani di dalam syarah (ulasan) Mawatta Imam Malik dan ramai lagi ulama yang lain telah mencatatkan hadith-hadith ini. Dan selepas mencatatkan hadith Ibn Abbas ini dan mengakui akan kesahihannya, mereka menerima bahawa hadith-hadith ini adalah bukti kebenaran dan keizinan menjamakkan solat supaya umat Rasulullah SAWAW tidak dibebani dan tidak disusahkan. Nawab: Bagaimana mungkin hadith ini dapat di amalkan semenjak Rasulullah SAWAW dahulu, sedangkan ulama telah mengambil jalan yang berbeza-beza? Shirazi: Persoalan itu tidak melibatkan perkara ini sahaja. Saudara akan melihat contoh-contoh yang lebih banyak lagi nanti. Di dalam perkara ini, Fuqaha Sunni sama ada tidak mengambil berat tentangnya ataupun kerana alasan yang lain, yang saya tidak tahu bercanggah pemahaman dan memberikan alasan yang tidak munasabah. Sebagai contoh, mereka berkata bahawa hadith ini mungkin merujuk kepada keadaan seperti disebabkan ketakutan, bahaya, hujan atau ribut. Dan sebahagian ulama silam saudara seperti Imam Malik, Imam Syafie dan Fuqaha dari Madinah telah memberi fatwa dengan alasan yang sama, walaupun pendapat itu telah ditolak oleh hadith Ibn Abbas, yang dengan tegas telah menyatakan bahawa dua solat telah didirikan tanpa sebab hujan atau takut. Yang lain, mereka menyatakan barangkali langit tidak dapat diramal dan mereka tidak pasti dengan waktu, dan sesudah selesai mengerjakan solat Zuhr ketika itu awan telah hilang dan mereka dapati waktu Asar telah masuk. Jadi mereka telah mengerjakan solat Zuhr dan Asar dengan menjamakkannya. Saya tidak dapat memikirkan alasan lain yang lebih kuat lagi. Mungkin pentafsir ini tidak mempertimbangkan, bahawa orang yang bersolat itu adalah Rasulullah SAWAW yang baginya, ada atau tidak adanya awan tidak bererti apa-apa kerana ilmunya tidak hanya meliputi segala sebab, tetapi juga meliputi semua sebab dan musabab. Selain dari kenyataan orang-orang ini mempunyai pemikiran yang keliru, tidak terdapat sebarang bukti yang menunjukkan peristiwa ini benar-benar berlaku. Menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak menafikan alasan mereka ini. Ini disebabkan pada waktu itu (di malam yang gelap), ada atau tidak ada awan, tidak memberikan sebarang erti, biarpun mereka mengabaikan kenyataan pendapat mereka yang bertentangan dengan erti hadith tadi. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadith Ibn Abbas yang dengan terang mengatakan bahawa dia terus memberikan ucapannya sehingga ada dari kalangan pendengar berteriak,"Solat! Solat!" iaitu untuk mengingatkannya bahawa bintang telah terbit dan sudah masuk waktu untuk solat. Ibn Abbas dengan sengaja melewatkan solat Maghrib, kerana dia akan menjamakkana solat Maghrib dan Isyak. Abu Hurairah juga mengakui perbuatan ini dengan mengatakan Rasulullah SAWAW berbuat seperti itu juga. Sudah pasti alasan yang longgar akan kami tolak. Begitu juga dengan mereka yang benar-benar berilmu dari kalangan ulama saudara, dengan keyakinan ianya bertentangan dengan maksud hadith yang jelas. Seterusnya ulama besar saudara, Syeikhul Islam Ansari, di dalam kitabnya "Tohfatul Bari Fi Syarh Sahih al-Bukhari" di dalam Bab "Solat-al-Zuhr ma'al 'Asr wal-Maghrib ma'al Isya'" halaman 292, Bahagian I dan begitu juga Allamah Qastalani pada halaman 293, Bahagian II, Kitab Irshadus-Sari Fi Syarh Sahih al-Bukhari", dan lain-lain pelopor Sahih Bukhari dan pengkaji yang begitu ramai dari kalangana mazhab saudara, telah mengakui bahawa alasan seumpama itu adalah bertentangan dengan erti yang jelas dari hadith tadi, dan dengan itu untuk mengaitkannya, bahawa solat mesti dilakukan secara berasingan tidak mempunyai dasar sama sekali. Nawab: Jadi bagaimanakah perselisihan ini boleh muncul, sehingga dua golongan di dalam Islam sanggup menghalalkan darah saudara Islam yang lain, dan memandang sesama sendiri dengan perasaan benci dan dendam serta mengutuk amalan satu sama lain? Shirazi: Pertama, saudara mengatakan dua golongan mazhab dalam Islam tidak mampu mencontohi satu sama lain. Saya terpaksa mempertahankan diri saya bagi pihak Syi'ah Ahlul Bait AS dan keluarga Rasulullah SAWAW, iaitu kami Syi'ah tidak memandang rendah atau bermusuhan dengan mana-mana orang yang berpelajaran atau mengutuk saudara Islam Sunni kami. Malahan kami memandang mereka seperti saudara Muslim kami. Kami, sudah pastilah amat berdukacita dengan dakyah pihak Khawarij, Nasibi, Bani Umaiyyah dan gerakan-gerakan syaitan baik dari kalangan jin dan manusia yang telah mempengaruhi saudara kami dalam Islam, iaitu Sunni, sehinggakan mereka menganggapkan saudara Syi'ah yang mengambil Ka'bah, al-Qur'an, kenabian, mengerjakan amalan yang diwajibkan dan sunat, serta menjauhkan diri dari perbuatan dosa, tetapi telah dituduh sebagai golongan Rafidi, penyembah berhala, kaum kufur, lalu mereka menjauhkan diri dari kami, dan memandang kami dengan perasaan benci dan dengki. Kedua, saudara bertanya bagaimana perbezaan boleh bermula, mungkin saya akan memberitahu saudara di malam-malam akan datang. Ketiga, tentang menjamakkan solat atau solat secara berasingan, Ahli Fiqh Sunni sendiri mencatatkan hadith-hadith ini, yang memberi keizinan untuk menjamakkan solat Zuhr dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak bagi tujuan kemudahan, kesenangan dan keselamatan dari bahaya atau dari kemudaratan. Tetapi saya tidak mengetahui kenapa alasan-alasan yang tertolak dikemukakan dan mereka melarang menjamakkan solat di luar halangan-halangan ini. Malahan, sebahagian dari mereka seperti Abu Hanafi dan pengikut-pengikutnya telah mengharamkannya sama sekali, baik ketika ada halangan mahupun tidak ada, atau sama ada sewaktu di rumah ataupun di dalam perjalanan. Tetapi menurut Syafie, Maliki dan Hanbali, walaupun berbeza-beza di dalam alasan yang juga tidak perlu telah mengizinkan untuk menjamakkan solat sewaktu di dalam perjalanan atau sebagaimana seperti pergi Haji, Umrah, dan peperangan dan lain-lain lagi. Tetapi ulama Syi'ah di dalam mentaati para Imam Maksum dari Ahlul Bait Rasulullah SAWAW yang mengikut sunnah Rasulullah SAWAW yang disifatkan sebagai pembeza di antara yang haq dan yang batil dan pengimbang al-Qur'an, tanpa apa-apa syarat telah mengizinkan sama ada di rumah ataupun di dalam perjalanan baik ada halangan atau pun tidak, untuk menunaikan solat secara berturut-berturut satu persatu, atau diselangi dengan jarak masa yang panjang. Dan ini hanya termaktub kepada solat yang tertentu sahaja, iaitu mereka boleh mengerjakan solat Zuhr dan Asar, atau solat Maghrib dengan Isyak, di dalam satu waktu menurut kesempatan dan keselesaan, atau boleh juga untuk bersolat di awal waktu (ini sangat afdhal) ataupun mendirikan solat Maghrib dan Isyak mengikut keselesaan waktu mereka. Memang solat di awal waktu adalah lebih afdhal, sebagaimana yang telah disebutkan dalam buku-buku perukunan tentang masalah ini yang telah ditulis oleh ulama Syi'ah. Mungkin orang-orang sekarang terlalu sibuk dengan tugas mereka dan mempunyai tanggungjawab dan mereka sering berasa cemas kerana bimbang terluput waktu solat dengan sedikit kecuaian sahaja. Jadi, bagi kemudahan mereka dan untuk mengelakan kesusahan dan bebanan (yang menjadi tujuan Pencipta Tuntutan Islam (Allah SWT), Syi'ah mendirikan dua solat di dalam satu waktu, sama ada di awal atau akhir waktu, pada waktu yang telah ditentukan. Saya harap ini sudah cukup untuk menjelaskan kemusykilan yang difikirkan oleh saudara, dan juga saudara Muslim Sunni yang memandang dengan dengki dan irihati terhadap kami. Sekarang kita kembali kepada perbincangan kita tadi, tentang persoalan pokok yang lebih utama, yang mana kesemua masalah hukum-hakam akan terjawab selepasnya dengan sendiri. Bagaimana keturunan Allamah Berhijrah Dari Hijaz ke Iran Dari persoalan itu, Hafiz memohon kepada Allamah Sultanul Waezeen supaya memberitahu tentang bagaimana keturunannya (Allamah Sahib) berhijrah dari Hijaz ke Iran. Allamah Shirazi telah menjelaskannya seperti sebuah keterangan sejarah keturunannya yang telah dibunuh dengan kejam sekali di Shiraz atas perintah Raja Abbasiyyah. Perkuburan mereka masih menarik pengunjung dari jauh. Yang paling terkemuka di antara mereka ialah Syed Amir Mohammad Abid, Syed Amir Ahmad (Shah Charagh), dan Syed Alauddin Hussain, kesemuanya anak-anak Imam Musa al-Kazim AS. Kisah terperinci dimulakan dari sini. Bagaimana Kubur Amirul Mukminin Ali AS Diketahu Penemuan kubur Amirul Mukminin Ali AS juga dibincangkan sebagaimana keterangan berikut. Hafiz: Di daerah manakah terletaknya kuburan Amirul Mukminin Ali Karramallaha Wajhahu ketika itu, hingga ia dapat ditemui setelah seratus tahun setengah? Shirazi: Adapun Amirul Mukminin Ali AS telah syahid di waktu pemerintahan Khalifah Muawiyah, yang mana ketika itu pengkhianatan Umaiyyah berada di tahap yang amat melampau. Amirul Mukminin Ali AS telah berwasiat supaya jasadnya dikebumikan di tempat yang tersembunyi di waktu malam dengan tidak meninggalkan sebarang kesan. Dengan itu hanya beberapa orang sahaja dari kalangan sahabat karibnya dan juga anak-anaknya yang hadir sewaktu beliau AS dikebumikan. Pada pagi 21 Ramadhan (ketika dia hendak dikebumikan), dua pengusungan telah disediakan. Satu menuju ke Mekah dan satu lagi menuju Madinah. Itulah sebabnya, selama beberapa tahun kuburannya tidak diketahui orang, melainkan beberapa sahabat yang tertentu sahaja dan termasuk juga anak-anaknya. Kenapa Kuburan Amirul Mukminin Ali AS Dirahsiakan Hafiz: Apakah tujuan disebalik penyembunyian kuburannya? Shirazi: Mungkin kerana takutkan orang yang tidak beragama dari kalangan Bani Umaiyyah, sebab mereka ini menentangnya dan sangat memusuhi Ahli Keluarga Rasulullah SAWAW. Mereka mungkin melakukan perbuatan yang tidak senonoh terhadap kuburan yang suci ini, dan ini akan menjadi salah satu daripada tindakan yang paling kejam yang mungkin mereka lakukan. Hafiz: Bagaimana saudara boleh berkata begitu? Amat mustahil bagi seorang Muslim, walaupun bermusuhan, untuk melakukan perkara yang tidak senonoh itu terhadap Muslim yang lain? Shirazi: Barangkali saudara pernah mengkaji sejarah kegemilangan Bani Umaiyyah dan perlakuan mereka yang tidak berperikemanusiaan dan sangat memalukan. Sebagai pengetahuan, sejak dari mula berkuasa mereka telah membuka pintu kezaliman dan menceroboh hak-hak terhadap orang Muslim. Sungguh dahsyat sekali: Bencana apakah yang telah mereka lakukan? Betapa banyak darah telah mereka tumpahkan dan betapa pula kehormatan telah mereka jahanamkan. Dinasti yang terhina, yang tidak mempunyai tatasusila. Perbuatan terkutuk mereka telah dicatatkan oleh ulama besar saudara dengan perasaan yang penuh keaiban, terutama sekali Allamah Maqrizi Abdul Abbas Ahmad bin Ali Syafie yang telah merakamkan perbuatan Bani Umaiyyah yang amat menyayatkan hati di dalam kitabnya,"Anniza Wattakhasum Fi Ma Baina Bani Hashim Wa Bani Umaiyyah" yang menyatakan mereka tidak membezakan di antara orang yang hidup dan yang telah mati di dalam perasaan permusuhan mereka. Sebagai contoh, saya akan memberikan dua sahaja peristiwa yang penting yang berlaku di dalam sejarah yang sungguhn menyayat hati, yang membuktikan perbuatan kejam dan ganas Dinasti Umaiyyah, supaya saudara tidak akan terkejut dan patut menerima catatan sejarah yang sahih. Kedua-dua peristiwa itu adalah tentang Syahidnya Zaid bin Ali bin Husain AS yang dikenali sebagai Zaid as-Syahid dan anaknya Yahya. Semua ahli sejarah Syi'ah dan juga Sunni telah mencatatkan bahawa ketika Hisyam bin Abdul Malik menjadi khalifah, dia mulai melakukan berbagai keganasan dan kekejaman ke atas orang ramai dan terhadap keluarga Bani Hashim, dia dan juga pengikutnya telah bersangatan melampaui batasan dalam permusuhan. Akhirnya, Zaid bin Ali, anak kepada Imam Ali Zainal Abidin AS, yang terkenal sebagai seorang ulama besar, yang taat, seorang yang sangat bertaqwa, pergi menemui khalifah untuk mengadu tentang kesengsaraan yang telah menimpa Bani Hasyim dan orang-orang yang lain. Tetapi setelah dia berjumpa dengan khalifah, belumpun sempat dia membuka mulutnya, dan bukan sahaja tidak disambut selayaknya seperti orang yang berasal dari darah daging Rasulullah SAWAW, malahan khalifah melemparkan kata-kata nista, tuduhan dan memaki hamun, yang tidak sanggup untuk saya mengucapkannya, lalu menghalaunya keluar. Atas perlakuan khalifah terhadap Zaid, seorang yang mempunyai kedudukan yang begitu mulia, menyebabkan beliau kemudiannya sebagaimana yang telah dicatatkan oleh ahli sejarah terkenal Sunni dan Syi'ah, merasa tertekan untuk meninggalkan Syam (Syria) lalu pergi ke Kufah, di mana dia mula mengumpulkan orang-orangnya untuk menentang Bani Umaiyyah kerana kezaliman mereka. Gabenor Kufah yang bernama Yusuf bin Umar Saqafi, keluar dengan tentera yang besar untuk menentang Zaid. Zaid melawan dengan sepenuh hati dan tidak memperdulikan keletihan sambil membaca puisi peperangan berikut, Mati Dengan Kehormatan Lebih Baik Dari Hidup Dalam Kehinaan "Hidup dalam kehinaan dan mati secara terhormat, kedua-duanya amat menyedihkan, tetapi seandainya satu darinya tepaksa dipilih, pilihanku adalah lebih baik mati dengan kehormatan." Sedang dia sibuk berperang, tiba-tiba sebatang anak panah singgah kedahinya lalu dia rebah dan syahid. Anaknya, berjaya mengambil jasad bapanya dari medan bertempuran dan mengkebumikannya di suatu tempat yang jauh dari bandar berdekatan dengan sebuah sungai. Selepas mengkebumikannya, dia mengalirkan air sungai ke atas kuburan bapanya. Tetapi, para pengkhianat telah melaporkan perkara ini kepada Yusuf. di atas perintahnya, dia mengarahkan orang-orangnya untuk menggali kuburan tersebut dan mengambil jenazah Zaid, lalu kepalanya dipenggal dan dikirimkan kepada Hisyam di Syam (Syria). Pemerintah yang kejam itu terus mengutus surat kepada Gabenor Kufah supaya menelanjangkan jenazah Zaid dan digantung pada tempat penggantungan. Gabenor yang terkutuk ini melaksanakan perintah sepertimana yang diarahkan, dan pada bulan Safar 121H, jenazah suci dari keturunan Rasulullah SAWAW ini telah digantung dalam keadaan berbogel selama empat tahun di situ. Di waktu Walid bin Yazid bin Abdul Malik bin Marwan menjadi khalifah pada tahun 126H, dia memerintahkan rangka jenazah orang yang suci itu diturunkan dari tempat penggantungan dan dibakar dan kemudian abunya hendaklah diterbangkan di udara. Perlakuan yang sama juga telah dilakukan oleh orang yang dilaknati, ke atas Yahya bin Zaid di Jurjan yang terletak di Khurasan yang sekarang dikenali sebagai Gurgan. Ini disebabkan orang yang mulia ini telah menentang Bani Umaiyyah dan seperti yang telah termaktub dengan terperinci di dalam sejarah, dia juga telah syahid di dalam medan peperangan. Kepalanya telah dipotong dan dihantar ke Syam (Syria) dan mayatnya diperlakukan seperti bapanya juga, digantung selama enam tahun, sampaikan kawan dan lawan berasa sedih melihatnya dan hanya berakhir apabila Walid mati menuju ke neraka, Abu Muslim al-Khurasani, seorang penentang Bani Umaiyyah, bagi pihak Bani Abbas, telah menurunkan mayat tersebut lalu disemadikan di Gurgan, di mana makamnya dijadikan tempat ziarah dan dijaga dengan penuh kehormatan oleh kaum Muslimin. (Mendengarkan peristiwa ini, semua para hadirin merasa amat sedih dan mula menangis). Perbuatan Terkutuk Oleh Dinasti Yang Dilaknati Seterusnya, setelah mendengar perbuatan terkutuk dinasti ini, dari dua contoh yang telah dikemukakan, maka tidaklah menghairankan jika mereka mendapat kesempatan yang sebegitu sekali lagi, mereka akan melakukan seperti itu juga ke atas Amirul Mukmin Ali AS. Dari ini menurut wasiat Amirul Mukminin Ali AS, jasadnya hendaklah dikebumikan di waktu malam dan jangan ditinggalkan sebarang kesan. Makamnya masih tidak diketahui oleh orang awam, hinggalah pada masa pemerintahan khalifah Harun al-Rasyid. Pada suatu hari khalifah Abbasiyyah ini pergi memburu berhampiran dengan Najaf, tempat yang terkenal kerana banyak rusa. Sewaktu anjing-anjing buruan mengejar, rusa-rusa mencari perlindungan di atas bukit Najaf., di mana semua anjing-anjing buruan tersebut enggan mendakinya. Perkara ini berlaku beberapa kali iaitu apabila anjing buruan tiada, rusa-rusa itu akan turun dari bukit tersebut, tetapi apabila anjing buruan mengejar kembali, rusa-rusa tersebut lari kembali ke atas bukit sebagai tempat perlindungan. Khalifah berfikir mesti terdapat sesuatu rahsia yang menyebabkan anjing-anjing buruannya tidak mahu mendaki ke atas bukit itu. Dia menghantar orang-orangnya ke sana dan mereka kembali bersama seorang tua dari kalangan penduduk asal di situ lantas bertanya kepadanya apakah rahsia yang menyebabkan anjing-anjing buruannya tidak mahu mendaki bukit tersebut. Penemuan Kuburan Imam Ali AS Orang itu menjawab dengan mengatakan bahawa dia mengetahui akan rahsia sebuah kuburan di situ tetapi dia takut hendak membocorkannya. Khalifah berjanji tidak akan mengapa-apakannya jika dia menerangkanya. Menurut orang tua itu, pada suatu hari, dia bersama-sama dengan bapanya mendaki bukit itu dan mendirikan solat di sana. Bila dia bertanya akan apa yang terdapat di sana, bapanya menjawab yang dia pernah ke situ dengan Imam Ja'far al-Sadiq AS untuk tujuan ziarah. Imam berkata bahawa itu adalah kuburan datuknya, Amirul Mukminin Ali AS dan ia akan diketahui orang tidak lama lagi. Di atas budi bicara khalifah, tempat itu telah dibongkar dan kelihatan sebuah perkuburan yang di atasnya terdapat sebuah batu, yang mengandungi tulisan dalam bahasa Syria lama, yang berbunyi:"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Kubur ini telah disediakan oleh Nabi Nuh AS untuk Ali, Pengganti Mohammad SAWAW, 700 tahun sebelum banjir besar." Khalifah menghormati tempat tersebut dan mengarahkan supaya ianya diperbaiki. Kemudian dia pergi mengambil wudhuk dan solat dua rakaat. Beliau menangis dan meratap di atas makam tersebut. Selepas itu, dengan perintahnya yang berhubungan dengan semua peristiwa tersebut, dia menulis surat kepada Imam Musa al-Kazim AS di Madinah bertanya tentang perkara tersebut. Imam AS memberikan kata putus dengan jawapan bahawa datuknya yang telah teraniaya, Amirul Mukminin Ali AS telah dikebumikan di tempat yang sama. Atas arahan khalifah Harun, sebuah bangunan telah didirikan di situ yang kemudiannya dikenali sebagai Hajir Haruni, iaitu bangunan batu dibina oleh Harun. Tidak lama kemudian, berita ini telah tersebar luas dan orang-orang Mukmin mula berkunjung datang untuk berziarah ke situ. Dengan cara beginilah Ibrahim Mujab, nenek moyang Sultanul Waizeen meninggalkan Shiraz menuju tempat suci ini, dan selepas mengerjakan ziarah dia meninggal dunia di Karbala. Dia telah dikebumikan berhampiran dengan moyangnya Imam Husayn AS dan bekas perkuburannya masih ada di sudut baratdaya makam Imam Husayn AS dan dikunjungi oleh penziarah-penziarah. Perbezaan Pendapat Tentang Tempat Kubur Amirul Mukminin AS Hafiz: Saya fikir, walaupun telah diperkatakan dengan begitu terperinci tentang kubur Ali KWJ, ia sebenarnya tidak wujud di Najaf, sebab para ulama telah berbeza pendapat mengenainya. Sebahagian dari mereka berkata, ianya terdapat di rumahnya di Kufah, sebahagian pula berkata ianya di Qiblah di tengah-tengah masjid di Kufah, dan sebahagian yang lain menulis dengan mengatakan ianya di pintu pagar yang dikenali sebagai Rab al-Kinda di masjid Kufah. Malahan ada yang lain mengatakan kuburan Ali AS terletak di sebelah kuburan Fatimah AS di Baqi. Di Afghanistan juga terdapat tempat yang bernama Makam Ali AS. Yang tidak dipertikaikan ialah jasad Ali AS telah dimasukkan ke dalam sebuah keranda dan dibawa dengan unta menuju ke Madinah. Satu gerombolan telah merampas keranda tersebut dengan sangkaan ianya mengandungi harta, tetapi apabila mereka membukanya didapati ianya adalah mayat, lalu mereka membawanya ke Kabul dan dikebumikannya di sana. Itulah sebabnya orang-orang awam melawat dan melakukan ziarah ke tempat itu. Shirazi: Semua perbezaan yang berbangkit ini adalah dengan kehendak Imam Ali AS, kerana dia telah berwasiat supaya merahsiakan perkara ini. Saya fikir tidak perlu diperincikan mengenai perkara ini. Adapun tentang perkara ini telah disebutkan dari Imam Ja'far al-Sadiq AS pada saat wafatnya Amirul Mukminin Ali AS, beliau berkata kepada anaknya Imam Husayn AS iaitu selepas mengkebumikannya di Najaf, dia perlu menyediakan empat lagi kuburan untuknya di tempat yang berasingan iaitu, i) di Masjid Kufah, ii) di Rahbah, iii) di rumah Jo'dah Hirah dan, iv) di Ghirah, supaya tiada seorang pun akan mengetahui perkuburannya yang sebenar. Sebenarnya perbezaan ini hanya terdapat di kalangan para ulama saudara yang terkeliru dengan keterangan-keterangan lain yang bercanggah. Adapun ulama Syi'ah sebulat suara berpegang bahawa kuburan Amirul Mukminin Ali AS adalah di Najaf, kerana apapun mereka pelajari dari Ahlul Bait As adalah sahih. Ahlul Bait (adalah ahli rumah) adalah lebih mengetahui tentang apa yang berlaku berkaitan dengan rumahnya. Untuk pengetahuan saudara pandangan yang mengatakan kubur Imam Ali AS di Kabul, adalah tidak munasabah dan sama sekali tidak betul. Kisah ini tidak lebih dari cerita khayalan. Saya sungguh hairan kenapa ulama saudara menjauhkan diri mereka dengan keturunan Rasulullah SAWAW di dalam semua hal hinggakan mereka tidak mahu bertanya di mana letaknya kubur seorang bapa dari anaknya sendiri supaya tidak berlaku perbezaan pendapat kerana orang yang di dalam rumah lebih mengetahui apa yang terdapat di dalam rumahnya daripada orang lain. Jika andaian yang ada sekarang ini benar, sudah pasti Imam telah memberitahu pengikut-pengikutnya tentang perkara itu tetapi sebaliknya mereka telah mempastikan ianya adalah di Najaf. Mereka sendiri telah menziarahi tempat tersebut selama ini dan menasihati anak-anak mereka supaya menziarahi tempat itu. Ulama seperti Sibt Ibn Jauzi di dalam bukunya "Tazkirah" di halaman 103, telah menyebutkan mengenai perbezaan ini hingga dia berkata bahawa, pandangan yang keenam adalah di Najaf, tempat yang terkenal yang dikunjungi oleh pelawat, dan dari semua pandangan, inilah pandangan yang paling benar. Demikian juga ulama saudara yang lain seperti Khatib al-Khawarizmi di dalam Manaqib, Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikh, Mohammad bin Talhah Syafie di dalam kitab Matalib al-Suul, Ibn Abil Hadid di dalam Syarh Nahjul Balaghah, Firuzabadi di dalam kamus bahasa di bawah huruf Najaf, dan lain-lain lagi telah memberikan pendapat bahawa kuburan Amirul Mukminin Ali AS adalah di Najaf.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar